Dalam sebuah hadith juga ada menceritakan bagaimana keadaannya para wanita di zaman Nabi SAW ketika keluar untuk solat seperti mana yang terdapat di dalam hadith ‘Aisyah R.Anha:
لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى الْفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِى مُرُوطِهِنَّ ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersolat Subuh, beberapa orang wanita yang berpakaian menutup seluruh tubuh juga bersolat bersama-sama Baginda. Selepas itu, mereka balik ke rumah masing-masing tanpa dikenali oleh sesiapa pun.”
Riwayat al-Bukhari (365)
Hadith secara tidak langsung menunjukkan kepada kita akan keadaan berpakaian para wanita di zaman Rasulullah SAW ketika ingin menunaikan solat dan begitulah juga keadaannya ketika selesai solat, pulang ke rumah tanpa dikenali oleh sesiapa pun.
Hukum Solat Tanpa Mengenakan Telekung
Berdasarkan hujah-hujah yang telah diberikan, hukum bagi wanita yang solat tanpa mengenakan telekung adalah sah sekiranya pakaian sedia adanya itu telah menutupi aurat.
Tanpa menafikan bahawa penggunaan telekung juga menepati kaedah penutupan aurat secara syar’ie, namun sekiranya terdapat wanita yang pakaian sedia adanya telah cukup syarat penutupan aurat, maka pakaiannya yang sedia ada itu boleh di bawa solat meskipun tanpa mengenakan telekung.
Permasalahan mula timbul bilamana mengganggap bahawa telekung merupakan syarat sah solat sedangkan yang menjadikan solat itu sah sebenarnya adalah dengan menutup aurat.
Perlu diingatkan juga bahawa yang dimaksudkan dengan menutup aurat itu adalah dengan melabuhkan tudung sehingga menutupi bahagian dada, pakaian yang longgar tidak menampakkan bentuk tubuh dan juga tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit serta labuh hingga boleh menutupi bahagian kaki. Ketahuilah juga bahawa aurat wanita di dalam solat itu adalah auratnya juga ketika di luar solat.
Semoga kita dapat beramal mengikut neraca syara’ yang sebenarnya. Wallahu a’lam.